Jangkitan Wabak Coronavirus 2019

 

Jangkitan Wabak Coronavirus 2019 (COVID-19) telah memberi kesan yang besar kepada segenab masyarakat di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Mula dikesan pada 25 Januari 2020 yang lalu, dengan kes pertama melibatkan pelancong dari Cina yang masuk melalui sempadan Singapura, kini jumlah jangkitan COVID-19 setakat 5 September 2020 adalah sebanyak 9,391 kes dengan jumlah kematian sebanyak 128 orang.

Walaupun Malaysia telah terbukti berjaya mengekang penularan wabak ini secara berleluasa dengan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac 2020 sehingga 12 Mei 2020, namun rakyat Malaysia mungkin berdepan dengan gelombang kedua apabila mutasi D614G dikesan dalam Kluster PUI Sivagangga, Ulu Tiram.

 

Apakah jenis mutasi D614G?

Berdasarkan kajian, jenis mutasi D614G yang mula dikesan oleh saintis pada Julai 2020 dikatakan 10 kali ganda lebih mudah merebak jika disebarkan oleh individu ‘super spreader’. Buktinya apabila peningkatan kes jangkitan secara mendadak dalam Kluster PUI Sivagangga yang telah menjangkiti 45 orang dalam tempoh yang singkat.

Juga digelar sebagai mutasi “G”, D614G adalah variasi dari strain asal koronavirus yang pertama kali dilaporkan di kota Wuhan, China pada bulan Disember yang lalu. Sejak tempoh itu, virus ini telah bermutasi beberapa kali. Kajian bulan Julai yang lalu oleh University of Bologna di Itali mendapati bahawa terdapat sekurang-kurangnya enam strain bagi koronavirus asli yang menjadi penyebab berlakunya penyebaran wabak di seluruh dunia.

Mutasi pertama COVID-19 iaitu strain S, muncul pada awal tahun ini. Strain G muncul dari pertengahan Januari dan seterusnya.

Kini, mutasi D614G menjadi bentuk dominan dalam pandemik COVID-19, yang membentuk sekitar 70 peratus daripada kira-kira 50,000 genom bagi virus.

Walaupun ia paling banyak dilaporkan di Amerika Syarikat dan Eropah, kemunculannya semakin meningkat di Asia sejak bulan Mac apabila rakyat asal dan penduduk tetap mula kembali ke negara masing-masing seperti yang berlaku dalam Kluster PUI Sivagangga.

 

Bagaimana mutasi ini terhasil?

Menurut Profesor Gavin Smith dari Program Penyakit Berjangkit Duke-NUS Singapura, semua jenis virus menghasilkan salinan dirinya semasa berlakunya jangkitan. Virus, seperti koronavirus atau virus penyebab selesema, boleh melakukan kesilapan semasa proses replikasi. Kesilapan ini muncul dalam bentuk yang dipanggil sebagai mutasi.

Dalam kes strain D614G, mutasi berlaku apabila asid amino pada kedudukan 614 berubah dari D (asid aspartik) menjadi G (glisin). Hasilnya, varian D614 yang awal dari wilayah Wuhan, China bertukar kepada D614G.

 

Apa yang membezakan mutasi D614G dengan yang lain?

 

Hasil penyelidikan makmal mendapati bahawa strain ini lebih mudah berjangkit berbanding mutasi jenis yang lain. Dalam kajian pada bulan Julai yang diterbitkan dalam majalah Cell, Dr Bette Korber iaitu seorang ahli biologi teori dari Los Alamos National Laboratory di Amerika Syarikat (AS) telah menguji sampel yang diambil dari pesakit di seluruh Eropah dan AS.

Beliau dan pasukannya mendapati bahawa walaupun varian D614G jarang berlaku di luar Eropah pada awal bulan Mac, kekerapan penularannya didapati telah meningkat di seluruh dunia pada akhir bulan tersebut.

Kajian tersebut mendapati bahawa mutasi berlaku pada protein spike virus – bahagian yang menonjol pada koronavirus yang digunakan untuk memasuki sel manusia. Strain tersebut telah dikenalpasi lebih mudah berjangkit berbanding D614 pada kultur sel dalam kondisi makmal.

Selain itu, pesakit yang dijangkiti koronavirus dengan mutasi D614G membawa lebih banyak salinan virus berbanding pesakit yang dijangkiti dengan strain D614 di mana ia mungkin boleh menjelaskan mengapa mutasi ini lebih mudah menjangkiti orang lain.

Kajian berasingan pada bulan Jun oleh para penyelidik dari The Scripps Research Institute di AS juga mendapati bahawa strain tersebut adalah 10 kali lebih mudah berjangkit berbanding strain asal. Namun begitu, kajian ini diterbitkan di laman penyelidikan dalam talian bioRxiv dan masih belum disahkan oleh para penyelidik yang lain.

Walau bagaimanapun, Profesor Smith mengingatkan bahawa kajian makmal ini semestinya berlaku ke atas jangkitan pada manusia. Malah, penyelidik lain juga turut menyangkal dakwaan ini dengan mengatakan bahawa hasil kajian hanya andaian semata-mata tetapi belum terbukti bahawa strain D614G lebih mudah berjangkit.

 

Adakah risiko kematian untuk mutasi D614G lebih tinggi?

Dalam kajian oleh Dr Korber juga mendapati bahawa tiada bukti bahawa strain tersebut meningkatkan risiko kematian berbanding strain asal dan mutasi yang lain. Punca kematian akibat wabak COVID-19 lebih bergantung pada faktor seperti penyakit sedia-ada, usia dan jantina.

 

Kesimpulannya, rakyat Malaysia dinasihati supaya mengamalkan penjagaan kesihatan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat gejala jangkitan COVID-19. Ia bertujuan untuk mengelakkan daripada penularan secara berleluasa sekiranya anda merupakan individu ‘super spreader’ yang akhirnya mengakibatkan berlakunya gelombang kedua di Malaysia. Jangkitan Wabak Coronavirus 2019.

Recent Comments

No Comments Available
en English
X
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x